17 Feb 2013

Apa itu KOLESTEROL??

Ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui apa sebenarnya kolesterol. Kolesterol sering disalahertikan dalam sebahagian diet harian kita. Kebanyakannya tahu bahawa mereka sepatutnya mengawal pengambilan makanan yang mengandungi kolesterol yang tinggi tetapi ramai diantaranya yang tidak mengetahui apa sebenarnya kolesterol itu. Berikut dihuraikan secara ringkas tentang kesan kolesterol di dalam badan.

Kolesterol ialah bahan berlemak (lipid) yang merupakan sebahagian daripada membran luar sel dalam badan haiwan. Ia juga ditemui dalam edaran darah Manusia. Dua sumber utama kolesterol dalam darah diperoleh daripada pemakanan dan pengeluaran hati.

Kolesterol pemakanan datang daripada daging, ayam, ikan dan produk tenusu. Selepas makan, kolesterol diserap oleh usus ke dalam peredaran darah dan diselaputi oleh protein. Kolesterol bersalut protein ni dipanggil “chylomicron”.

Hati mampu menyingkirkan kolesterol daripada peredaran darah dan juga menghasilkan kolesterol serta merembeskan kolesterol ke dalam peredaran darah. Selepas makan, hati mengeluarkan “chylomicron” daripada peredaran darah. Di antara waktu makan, hati menghasilkan dan merembeskan kolesterol kembali ke dalam peredaran darah.

Kolesterol tidak boleh larut dalam darah kecuali jika ia bergabung dengan protein khas yang dipanggil lipoprotein. Kolesterol yang dirembeskan oleh hati ke dalam darah boleh bergabung dengan lipoprotein ketumpatan amat rendah (VLDL) atau lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL).

Kolesterol LDL yang terhasil daripada metabolisme kolesterol VLDL dalam aliran darah, dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’ manakala kolesterol HDL dikenali sebagai kolesterol baik.



Kolestrol penyebab serangan jantung

Seseorang individu terdedah kepada serangan jantung apabila dia mempunyai kolesterol LDL yang lebih tinggi daripada kolesterol HDL.

Lipoprotein LDL menyebabkan kolesterol melekat pada dinding arteri, menyebabkan pembentukan bahan keras dan tebal yang dipanggil plak kolesterol. Lama-kelamaan, plak kolesterol menyebabkan dinding arteri menebal dan saluran arteri semakin sempit, satu proses yang dipanggil “atherosclerosis”.

Arteri koronari membekalkan darah dan oksigen kepada otot jantung. Bila arteri koronari menyempit disebabkan “atherosclerosis”, ia tidak mampu membekalkan darah dan oksigen secukupnya kepada otot jantung. Kekurangan oksigen ke otot jantung menyebabkan dada sakit, juga ketulan darah dalam arteri yang menyebabkan saluran itu tersumbat yg akan menyebabkan strok dan membawa kepada kematian otot jantung (serangan jantung).

Zarah kolesterol HDL menghalang proses “atherosclerosis” dengan menarik kolesterol daripada dinding arteri dan menyingkirkannya melalui hati, untuk dibuang menerusi hempedu. Ia juga mengganggu pengumpulan kolesterol pada dinding arteri oleh zarah kolesterol LDL.

Ubah corak pemakanan untuk menurunkan tahap kolesterol.

Kolesterol yang tinggi adalah sangat bahaya kepada badan manusia. Walaubagaimanapun, ia boleh dirawat. Pelbagai perubatan yang boleh membantu menurunkan kolesterol, tetapi salah satu langkah terbaik adalah dengan mengubah cara pemakanan harian kita. Dengan mengelak pengambilan makanan berasaskan haiwan, ia boleh mengurangkan tahap kolesterol di dalam badan bukan sahaja dengan mengurangkan kuantiti kolesterol tersebut malah mengurangkan kadar sintesis atau penghasilan kolesterol di dalam badan.
Mengurangkan pengambilan kalori atau tenaga harian sebanyak 7% dari makanan berasaskan lemak haiwan dan mengurangkan kadar pengambilan kolesterol sebanyak 200mg setiap hari.

Dicadangkan kepada mereka yang mengalami masalah kolesterol tinggi di dalam badan supaya mengurangkan pengambilan kalori atau tenaga harian sebanyak 7% dari makanan berasaskan lemak haiwan dan mengurangkan kadar pengambilan kolesterol sebanyak 200mg setiap hari. Nasihat lanjut perlu anda dapatkan dari doktor dan pakar untuk tindakan seterusnya.

No comments:

 
Full design and idea:jiakreatifelt.com